Gunung Ledang Melaka



Gunung Ledang (juga dikenali sebagai Mount Ophir) merupakan sebuah gunung yang terdapat di daerah Ledang, negeri Johor Darul Takzim, Malaysia. Terletak berdekatan dengan sebuah pekan kecil iaitu Asahan, Melaka. Dengan ketinggian 1,276 meter, Gunung Ledang merupakan gunung yang tertinggi di selatan Semenanjung Malaysia. Jika berada di atas gunung ini pada hari yang cerah, seseorang boleh melihat Selat Melaka dan Sumatera, Indonesia dengan jelas.

Gunung Ledang dipercayai sebagai salah satu dari hutan yang sangat kaya dengan spesies tumbuhan yang sukar ditemui di mana-mana tempat di dunia ini. Ia mempunyai kawasan hutan Dipterokarp Bukit dan hutan Dipterokarp Atas.

Gunung Ledang biasanya dikaitkan dengan satu legenda, iaitu legenda Puteri Gunung Ledang.

Asal-usul nama

Terdapat beberapa pendapat yang popular berhubung dengan asal-usul nama gunung ini. Menurut satu pendapat, sejarah purbakala menunjukkan bahawa Gunung Ledang adalah tempat yang mengandungi begitu banyak simpanan emas, menarik pedagang sehingga sejauh Greece dan China. Nama `Ophir’ itu sendiri dikatakan berasal dari bahasa Ibrani. Dalam kurun ke-14, pelayar Cina yang berulang-alik di Selat Melaka memanggil gunung tersebut sebagai ‘Kim Sua’ yang bermaksud ‘Gunung Emas’ (Golden Mountain). Satu sumber lain mengatakan bahawa Jawa ketika pemerintahan empayar Majapahit telah menamakan gunung tersebut sebagai ‘Gunong Ledang’, yang membawa maksud ‘gunung dari jauh’.

Cara mendaki, ada tiga runut mendaki:

Dari Asahan,Melaka, masuk ke sebelah kanan menuju ke Gunung Ledang. Laksamana Hang Tuah dipercayai menggunakan denai ini. Anda boleh mula dari kolam air di Kampung Asahan.

Dari Lebuhraya Utara-Selatan, susur keluar Tangkak menuju ke Jementah/Segamat di sebelah kiri lebuh raya. Anda akan jumpa Sagil. 10 km dari Tangkak menuju ke Segamat, anda akan jumpa air terjun Ayer Panas di sebelah kiri, kilang getah dan Estet Ledang Baharu. Dari air terjun , anda boleh ikut runut Sagil menuju ke puncak Gunung Ledang. Jalan ini lebih popular. Hanya 2-3 jam dikatakan boleh sampai ke puncak.

* Dari Tangkak ke Segamat, ada satu jalan ke puncak stesen radio Telekom Malaysia Berhad dan empangan air. Tetapi jalan ini ditutup kepada orang ramai.

Kelebihan

Gunung Ledang boleh didaki oleh sesiapa sahaja termasuk ahli keluarga. Namun pada 1987, enam orang Singapura tersesat di Gunung Ledang kerana cuba mengambil jalan pintas.
Air dari gunung ini boleh diminum tanpa masak terutamanya dibahagian tapak perkhemahan Gua Kambing dan Kolam Puteri.

Pendaki yang memulakan pendakian dari Sagil tidak perlu risau tentang keperluan makan minum, peralatan khemah dan penginapan. Pihak Gunung Ledang Resort telah menyediakan pelbagai kemudahan atau beli sahaja di mana-mana kedai pekan Sagil.

Taman Hutan Lagenda Gunung Ledang yang mula dibuka kepada orang ramai sejak Julai 2003, semakin mendapat sambutan berikutan keindahan alam sekitarnya.

Dengan kehijauan hutan dan alam semula jadinya, taman seluas 8,611 hektar yang terletak di kaki Gunung Ledang di Sagil itu, diwartakan sebagai taman negara pada 3 Oktober 2005.
Jika sebelum ini pelancong lebih tertumpu di kawasan air terjun di Gunung Ledang Resort sebagai kawasan rekreasi, Taman Hutan Lagenda itu memberikan pilihan kepada mereka yang lebih mementingkan ketenangan dan suasana hutan.

Selain itu, Taman Hutan Lagenda Gunung Ledang yang menjadi pintu masuk untuk ke puncak gunung itu juga adalah tempat paling sesuai untuk program bina semangat dengan pelbagai kemudahan lengkap.
Pembangunan di kawasan itu juga dibuat dengan menggunakan kaedah meminimumkan penebangan pokok bagi memastikannya tidak menjejaskan alam sekitar dan nilai keasliannya yang menjadi lokasi berharga kepada pencintanya. Malah, bilangan pengunjung ke kawasan itu juga dihadkan bagi memastikannya tidak terlalu terdedah dengan kehadiran orang ramai yang boleh menyumbang kepada kemusnahan kawasan hutan, sekali gus menjejaskan anugerah alam yang bernilai ribuan tahun.
Penguatkuasaan yang ketat dengan mengenakan beberapa peraturan kepada pengunjungnya berjaya mengekalkan keaslian taman hutan itu, sekali gus menjadikannya lokasi menarik.
SUASANA damai di Taman Hutan Lagenda Gunung Ledang.

Perbadanan Taman Negara Johor mengambil langkah berhati-hati dan merancang setiap kegiatan di kawasan itu dengan mengambil kira pengekalan ciri hutan rimba.

Pada masa ini, kawasan itu mempunyai kompleks pelawat yang berfungsi sebagai pusat latihan dan maklumat, dewan, asrama, chalet, tapak perkhemahan, pondok dan kafetaria.

Seorang peserta kem bina semangat di taman itu, Mohd Hardi Abdullah, berkata selain mendaki gunung, pelbagai kegiatan boleh dijalankan di kawasan terbabit termasuk program motivasi dan kegiatan lasak.
Katanya, beliau terpesona dengan keindahan alam sekitar yang tidak tercemar terutama kejernihan dan kesejukan air sungai yang sukar didapati di kawasan lain.

“Sungai yang mempunyai kumpulan ikan kecil juga memberikan rawatan spa percuma kerana apabila merendamkan kaki, ia akan menggigit sisa sel kulit mati, sekali gus memberikan rasa nyaman,” katanya.
Sehubungan itu beliau berharap pihak berkuasa terus menjalankan peraturan dan penguatkuasaan ketat bagi mengekalkan keaslian hutan itu serta pada masa yang sama membolehkan pelbagai kegiatan kem bina semangat dan pendakian dapat dijalankan.

Bagi urus setia yang mengendalikan kursus kepada pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Mohd Nordhamin Mohd Amran, kehijauan alam sekitar kawasan itu yang masih terpelihara memberi peluang kepada peserta menghayati keaslian alam sekitar serta pada masa sama menjalani program membentuk jati diri.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak untuk mengadakan lebih banyak program di taman hutan itu bagi memberi peluang kepada peserta menikmati keistimewaannya yang sukar ditemui di kawasan lain.
“Sudah banyak tempat yang saya pergi tetapi Taman Hutan Gunung Ledang ini paling istimewa kerana ia masih terjaga dengan penguatkuasaan bagi memastikannya tidak tercemar dengan kegiatan manusia,” katanya.

FAKTA: Taman Hutan Lagenda Gunung Ledang

# Nama gunung itu dikatakan berasal daripada bahasa Jawa ketika zaman empayar Majapahit yang bermaksud Gunung Dari Kejauhan atau Gunung Yang Tinggi. Malah, dalam kamus Dewan dan Pustaka menyatakan Ledang bermaksud `menunjukkan diri’ atau tinggi.

# Negara Barat mengenalinya sebagai Mount Ophir iaitu berasal daripada bahasa Yahudi tua atau Hebrew yang turut tercatat dalam Kitab Zabur yang antara lain menyatakan kawasan itu mempunyai banyak logam emas.

# Bagi pedagang Cina pula, gunung itu digelar sebagai Kim Sua yang bermaksud Gunung Emas.

# Terkenal dengan lagenda Puteri Gunung Ledang dan kepercayaan mistik lain yang sehingga kini masih belum terungkai.

# Memiliki sungai dan air terjun yang bersih dan jernih selain kehadiran anak ikan yang turut menjadi ikan spa kepada pengunjung yang merendamkan kaki mereka.

# Gunung itu juga mempunyai trek pendakian yang mencabar sehingga menjadi antara gunung yang sukar didaki di negara ini.

# Memiliki pelbagai spesis flora dan fauna, termasuk orkid, periuk kera, tumbuhan herba, burung dan serangga.

Advertisement

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s