Gunung Kinabalu



Gunung Kinabalu yang terletak di Sabah, Malaysia merupakan puncak tertinggi di Malaysia dan puncak tertinggi Pulau Borneo yang ketinggiannya mencecah 4,095 meter dari aras laut.[1] Gunung Kinabalu juga merupakan gunung kelima tertinggi di Asia Tenggara. [2] di belakang Hkakabo Razi di Myanmar (5881 m), Puncak Jaya (4884 meter),Puncak Trikora (4730 meter) dan Puncak Mandala (4700meter) di Indonesia. Dan Gunung Kinabalu jugalah gunung keempat tertinggi di Kepulauan Melayu.

Dari segi persempadanan geografi, gunung Kinabalu merupakan adalah yang tertinggi di Asia Tenggara. Ini adalah kerana Hkakabo Razi terletak di banjaran Himalaya yang terletak di plat tetonik benua India, sementara Puncak Jaya, Puncak Trikora, dan Puncak Mandala pula terletak dibenua Ocenia. Terdapat beberapa pertikaian mengenai kedudukan ketinggian gunung Kinabalu di Asia Tenggara, bergantung kepada cara pentakrifan ketinggian gunung dan sempadan Asia Tenggara. Puncak Raya (juga dikenali sebagai Piramid Carstenz) telah diakui sebagai puncak tertinggi di “Oceania”.[3] Indonesia dari segi politik umumnya dianggap sebahagian daripada Asia Tenggara, tetapi dari segi geologi dianggap sebahagian “Oceania” – disebabkan Indonesia tidak bercantum secara fizikal dengan benua Asia.

Gunung Kinabalu mempunyai kawasan hutan Dipterokarp Bukit, hutan Dipterokarp Atas, hutan Montane dan Hutan Ericaceous atau hutan gunung.

Gunung Kinabalu merupakan lambang kemegahan kepada setiap penduduk yang tinggal di Sabah. Sesetengah penduduk menganggap Gunung Kinabalu ini merupakan gunung yang dapat memberikan semangat juang dan satu padu rakyat Sabah. Gunung Kinabalu banyak menyimpan cerita dan kisah-kisah yang misteri. Menurut kepercayaan masyararakat Kadazan Sabah, Gunung Kinabalu merupakan tempat bersemadinya semangat mereka selepas meninggal dunia.

Pembentukan

Gunung Kinabalu terhasil dari pertembungan litosfera Laut China Selatan dan litosfera yang membentuk kepulauan Borneo. Litosfera ialah bahagian paling atas permukaan kerak bumi. Dalam pertembungan itu, litosfera Laut Cina Selatan semakin terbenam ke bawah permukaan bumi memberi tekanan kepada litosfera yang membentuk Kepulauan Borneo.

Tekanan itu menolak bongkah Gunung Kinabalu yang terletak di bawah permukaan bumi naik ke atas permukaan bumi. Tolakan itu menyebabkan Gunung Kinabalu semakin meninggi setiap tahun tetapi pada kadar yang amat perlahan (5 mm) dan sukar dilihat dengan mata kasar [4].

Ketinggian asal Gunung Kinabalu dipercayai lebih tinggi iaitu antara lima hingga lapan kilometer (km) dari ketinggian sekarang. Bagaimanapun hakisan yang berlaku selama berjuta-juta tahun, menyebabkan paras Gunung Kinabalu kini hanya tinggal 4,095 meter.

Gunung Kinabalu telah direkodkan mempunyai tujuh puncak tertinggi iaitu:

* Puncak Low’s (Low’s Peak) (4095.2m)

* Puncak St. John’s (St. John’s Peak) (4090.7m)

* Puncak Oyayubi Iwu (Oyayubi Iwu Peak) (3975.8m)

* Puncak Kakak Buruk (Ugly Sister Peak)

* Puncak Raja Edward (King Edward Peak)

* Puncak Telinga Keldai (Donkey Ears Peak)

* Puncak Tunku Abdul Rahman (Tunku Abdul Rahman Peak)

Ciri fizikal

Permukaan asal Gunung Kinabalu terdiri daripada batu-batu sedimen yang terdedah kepada hakisan selama lapan hingga 12 juta tahun. Hakisan yang berterusan itu akhirnya mendedahkan batuan pluton yang lebih tegar.

Kesemua puncak tinggi di dunia dilitupi ais tebal pada waktu kuartenar atau zaman air batu yang berlaku kurang daripada satu juta tahun lalu termasuklah Gunung Kinabalu yang ketika itu sama paras dengan gunung-gunung di Banjaran Himalaya. Ketika waktu itu puncak Kinabalu diliputi ais dan berlaku pergerakan glasier. Kesan pergerakan glasier boleh dilihat di kawasan Pinusok Gravel iaitu satu tempat yang terletak antara Kundasang dan Ranau.

Kejadian Gunung ganang menurut al Quran



Letusan Eyjafjallajokull di Iceland mengingatkan manusia kekuasaan Yang Maha Esa

NAMANYA agak janggal dalam perbendaharaan bahasa kita, Eyjafjallajokull. Janggal daripada susunan huruf, sebutan ucapan dan penglihatan mata, tetapi susunan kata itulah yang menggusarkan negara Eropah dan berimbas ke seluruh dunia selama hampir dua minggu yang bermula pada 14 April lalu.

Eyjafjallajokull nama gunung berapi di Iceland, utara Britain, yang menghamburkan debu setinggi 11 kilometer ke udara dan menghalang banyak penerbangan ke Eropah. Selama enam hari larangan itu, penerbangan dunia mengalami kerugian AS$1.7 bilion. Belum lagi kerugian lain dikaitkan dengan perkhidmatan penerbangan. Eyjafjallajokull satu nama daripada ribuan nama yang diberikan kepada ciptaan Allah SWT yang bernama gunung. Gunung adalah penyeimbang bumi di mana tanpanya bumi akan beroleng (bergerak) tidak tentu arah. Inilah satu fungsi gunung yang didedahkan al-Quran lebih 1,400 tahun lalu.

Al-Quran menyebutnya bermaksud: “Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya.” (Surah al-Naba: 7) Dalam ayat lain yang bermaksud: “Dan Dia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapkannya supaya ia tidak menghayun-hayunkan kamu, dan Dia mengadakan sungai-sungai serta jalan-jalan lalu-lalang, supaya kamu dapat sampai ke matlamat yang kamu tuju.” Surah al-Nahl: 15)

Al-Quran menyebut gunung dengan dua perkataan bahasa Arab. Yang pertama kata jamak ‘jibal’ dan disebut sebanyak 33 kali, manakala kata tunggal ‘jabal’ disebut enam kali dan yang kedua kata ‘rawasi’ yang diulang sebanyak 10 kali.

Menurut Rosihan dan Fadlullah, istilah jabal lebih bersifat umum, sedangkan rawasi kemungkinan dimaksudkan khusus untuk menyebutkan gunung yang berfungsi sebagai pasak bumi. Hal ini dikuatkan pula oleh makna dasar dari-pada kata berkenaan. Kata rawasi bermakna sesuatu yang dapat membuat benda yang bergoncang menjadi diam, dalam hal ini benda yang bergoncang adalah bumi.
Penyebutan rawasi juga selalu didahului dengan kata alqa bererti ‘mencampakkan’, atau ‘meletakkan sesuatu yang belum ada sebelumnya di tempat itu.’ Makna ini bersesuaian dengan huraian ilmiah mengenai gunung. Gunung-ganang yang berada di batas lempeng (divergence mahupun convergence) sememangnya tidak muncul bersamaan dengan pembentukan daratan, melainkan harus melalui proses tektonik terlebih dulu.

Penggunaan isim makrifat (al) yang mendahului kata ard dalam Surah Al-Nahl ayat 15. Isim (kata benda) ini menunjukkan pengkhususan, dalam hal ini pengkhususan bahagian tertentu daripada bumi. Ini bererti ‘gunung’ dimaksudkan dalam ayat berkenaan tidak terdapat di seluruh permukaan bumi, akan tetapi hanya pada wilayah tertentu. Wilayah berkenaan kemungkinan adalah batas-batas lempeng.

Bahagian lain setelah kata rawasi dalam ayat ini adalah perkataan an tamiida bikum yang bermakna ‘supaya ia tidak menghayun-hayunkan kamu.’ Perkataan ini mungkin menunjukkan ‘gunung’ yang dibicarakan dalam ayat itu ialah gunung berada dekat dengan permukiman manusia, yakni gunung-gunung di batas lempeng konvergen. Gunung di bawah laut (batas lempeng divergen) mungkin tidak termasuk dalam ‘gunung’ yang dibicarakan ayat ini.

Dalam al-Quran disebut gunung 49 kali mempunyai tujuan tertentu. Dengan bilangan sebanyak itu, sudah tentu gunung mempunyai kedudukan tersendiri dalam senarai makhluk ciptaan Allah. Kita boleh mengkategorikan pembahasan gunung dalam 49 ayat itu kepada pembahasan mengenai hakikat gunung sebagai kata kiasan; kepentingan sejarah manusia; tempat berlaku mukjizat; tempat berlindung manusia dan haiwan; penyeimbang bumi; keagungan penciptaan gunung, gambaran komposisi geologi; fakta bahawa gunung bergerak; supernatural dan nasib gunung pada hari kiamat.

Dari segi sains, gunung berapi adalah suatu proses geologi yang membabitkan pembentukan daratan yang dijana daripada letusan menerusi permukaan planet dipanggil magma, batuan cair yang meleleh keluar dari bahagian dalam (interior) planet.

Gunung berapi ada dalam beberapa bentuk sepanjang kitaran hayatnya. Gunung berapi yang aktif mungkin bertukar menjadi separuh aktif, menjadi pendam, sebelum akhirnya menjadi tidak aktif atau mati. Bagaimanapun, gunung berapi mampu menjadi pendam selama tempoh 610 tahun sebelum bertukar menjadi aktif semula. Oleh itu, sukar untuk menentukan keadaan sebenar sesuatu gunung berapi itu, sama ada sesebuah gunung berapi itu berada dalam tempoh pendam atau telah mati.

Apabila gunung berapi meletus, magma yang terkandung di dalam kamar magma di bawah gunung berapi meletus keluar sebagai lahar atau lava. Selain daripada aliran lava, kemusnahan oleh gunung berapi disebabkan melalui pelbagai cara seperti aliran lava; letusan gunung berapi; aliran lumpur; abu; kebakaran hutan; gas beracun; gelombang tsunami; dan gempa bumi.

Kejadian fenomena alam abu gunung Eyjafjallajokull sedikit sebanyak mengingatkan manusia mengenai kekuasaan Sang Maha Pencipta yang tidak ada tolak bandingnya. Dia boleh melakukan apa saja tanpa ada campur tangan dari sesiapa pun. Manusia sebagai makhluk ciptaannya hanya boleh menerimanya secara sukarela mahupun secara terpaksa demi kebaikan mereka.

“Kalau sudah demikian, adakah Allah yang menciptakan semuanya itu sama seperti makhluk yang tidak menciptakan sesuatu? Maka patutkah kamu lalai sehingga kamu tidak mahu beringat serta memikirkannya?” (Surah al-Nahl: 17)

Dikirim dalam Uncategorized. 1 Comment »

Hello world!

Welcome to WordPress.com. This is your first post. Edit or delete it and start blogging!

Dikirim dalam Uncategorized. 1 Comment »